Pada minggu ini saya ke satu hotel yang terletak di Brickfields, Kuala Lumpur iaitu di Jalan Ang Seng. Hotel yang telah memulakan operasinya pada September 2018 ini adalah di bawah rangkaian Hyatt. Melalui aplikasi World of Hyatt saya telah memilih bilik jenis King Bed Studio yang mempunyai keluasan 410 kaki persegi. Bilik ini berharga RM419.76 dan ianya tanpa sarapan pagi.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.10 petang dan terus sahaja ke lobi hotel yang terletak di tingkat 41. Terdapat 2 lif untuk ke tingkat 41 dan lobi hotel ini agak besar dan interiornya cantik. Terdapat sofa-sofa diletakan di lobi untuk pengunjung duduk sambil menunggu proses check-in. Lobi hotel ini mempunyai pemandangan yang agak cantik juga. Saya sebenarnya telahpun membuat proses check-in secara atas talian dan apabila tiba di kaunter, saya hanya perlu membayar harga bilik dan menandatangani satu borang sebelum diberikan kad akses bilik yang terletak di tingkat 37. Proses untuk check-in hotel ini sangat cepat dan kakitangan yang bertugas sangat mesra.
Saya terus ke tingkat 37 dengan menaiki lif di bahagian lain pula. Terdapat 2 buah lif untuk ke bilik-biliknya. Bilik yang saya inap ini besar dan luas serta cantik. Sebaik memasuki bilik, terdapat pintu bilik air di sebelah kiri pintu masuk (pintu gelongsor ini tidak boleh dikunci). Di ruang katil pula, selain satu katil king, terdapat sofa di tepi dinding bertentangan dengan kaki katil dan di atas sofa ini digantung TV yang besar, bersaiz 55 inci. Di tepi sofa ini pula terdapat satu kabinet menempatkan peti sejuk mini dan juga perkakas untuk membancuh kopi dan teh. Manakala di atas kabinet ini pula terdapat air minuman yang diletakan di dalam 2 botol kaca. Di sebelah kanan katil pula adalah almari bertutup yang agak besar. Di dalam almari ini terdapat tempat untuk menggantung baju serta peti simpanan keselamatan. Selain itu terdapat seterika dan juga papan seterika serta penimbang berat (tetapi baterinya sudah tidak berfungsi). Selain ruang untuk katil, terdapat satu ruang yang menempatkan sofa dan juga meja kerja menjadikan bilik hotel ini agak berbeza dengan hotel-hotel yang lain. Ruang ini agak luas dan begitu juga meja kerja dan sofa di mana saiznya agak besar. Terdapat lampu bacaan diletakan di atas meja kerja.
Bilik air hotel ini boleh juga diakses dari bahagian katil dan ini mengingatkan saya kepada Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur. Bilik airnya agak luas menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Ruang tandas ditutupi oleh pintu gelongsor (juga tidak boleh dikunci) dan terdapat gelung paip disediakan. Sementara ruang pancuran pula agak luas, ditutupi oleh cermin seratus peratus lutsinar. Terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang di dalamnya. Peralatan mandian pula lengkap disediakan, termasuklah berus gigi, tuala muka dan juga tuala tangan.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terdapat di dalam bangunan, iaitu di tingkat 40. Saiznya tidak begitu besar dan rekabentuk kolam renang ini agak cantik dan agak berbeza dengan hotel-hotel yang lain. Hanya kolam renang dewasa sahaja terdapat di hotel ini, tidak terdapat kolam renang untuk kanak-kanak. Waktu kolam ini beroperasi ialah pada pukul 6 pagi sehingga 8 malam. Selain itu di aras yang sama terdapat juga gimnasium yang juga sederhana besar. Di tepi kolam terdapat sebuah kafe yang cantik tetapi ianya tidak lagi beroperasi. Salah satu yang menarik tentang hotel ini ialah di ruang lif terdapat sofa untuk pengunjung berehat sambil minum kopi (terdapat mesin untuk membancuh kopi serta jajan di sini).
Untuk wifi percuma, kelajuannya hanyalah sekitar 10mbps. Telco pula tidak begitu laju di mana Tune Talk mempunyai kelajuan 41mbps sementara Celcom pula lebih perlahan, hanya berkelajuan 27mbps. Siaran TV pula tidak banyak dan hanya mempunyai beberapa siaran sahaja di dalam bentuk HD. Untuk tekanan air di bilik mandi pula, tekanan airnya sangat kuat dan saya sangat suka dengan pancuran yang digunakan dan sangat puas mandi di hotel ini. Hotel ini ada menyediakan servis in-room dining yang beroperasi 24 jam. Sebagai perbandingan harga, nasi lemak berharga RM39 sementara mee goreng mamak pula berharga RM41. Untuk yang membawa kenderaan pula, hotel ini ada menyediakan parkir tetapi ianya bukanlah percuma. Hotel ini mempunyai 2 buah restoran iaitu di aras lobi dan juga di bahagian bawah hotel (ground floor). Saya sempat mencuba mee goreng mamak di restoran bahagian bawah hotel dan ianya sedap bagi saya.
Saya sebenarnya sebelum ini tidak pernah bercadang untuk ke hotel ini mungkin disebabkan lokasinya dan sangkaan saya bahawa hotel ini lebih kepada sebuah residensi. Saya memilih untuk staycation di sini atas cadangan seorang rakan. Bagi beliau hotel ini cantik dan saya sepatutnya memilih hotel ini untuk staycation saya seterusnya. Selepas menginap di hotel ini, saya bersetuju dengan rakan saya itu bahawa hotel ini sebenarnya cantik dan mempunyai suasana yang saya gemar kerana tidak sibuk dan sangat tenteram, mengingatkan saya kepada The Ritz Carlton di Bukit Bintang. Ianya sangat sesuai untuk yang ingin bersantai dan berehat di hotel. Interior hotel ini cantik, bukan sahaja biliknya, tetapi juga di bahagian hotel yang lain. Bagi saya ini adalah antara hotel 5 bintang yang harganya tidak begitu mahal jika dibandingkan dengan hotel setaraf dengannya (kadang-kadang harganya di bawah RM400). Dari segi lokasinya pula, hotel ini terletak hanyalah 2.5km dari pusat membeli-belah Mid-Valley. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam pula, hotel ini letaknya bertentangan dengan Stesen LRT Bangsar (kira-kira 7 minit jika berjalan kaki). Saya bercadang untuk ke sini lagi dan memlih bilik jenis yang lain pula.
Bilik
Bilik Air
Lobi
Kolam Renang
Restoran
Hotel
Pemandangan
Comments