top of page
Search
hanuds

AC Hotel by Marriott Kuala Lumpur (27-28/11/22)

Dari hotel di bawah rangkaian Hilton, saya ke satu hotel di bawah rangkaian Marriott Bonvoy. Ini merupakan kali kedua saya ke hotel yang dulunya dikenali sebagai Hotel Vistana. Terletak di Jalan Lumut off Jalan Ipoh bersebelahan dengan Stesen Bas Pekeliling. Jika diambil kira dari Hotel Vistana, hotel ini memang sudah lama beroperasi dan ianya adalah salah satu hotel di bawah YTL Corporation. Saya menempah bilik melalui aplikasi Marriott Bonvoy dan harganya ialah RM185.14 (tanpa sarapan).


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 1.20 tengahari dan terus sahaja ke lobi untuk membuat pendaftaran masuk (check-in). Lobi hotel ini letaknya di tingkat bawah hotel dan selain kaunter terdapat juga sebuah restoran dan sebuah kafe di aras yang sama. Saya sebenarnya cuba membuat pendaftaran secara atas talian (online) tetapi aplikasi Marriott Bonvoy mempunyai masalah pada masa itu. Oleh kerana bilik telah pun sedia, saya pun diberi kad akses bilik saya yang terletak di tingkat 14. Terdapat 4 lif di hotel ini dan lifnya agak laju.


Bilik jenis deluxe yang saya pilih ini berkeluasan 301 kaki persegi. Memasuki bilik terdapat almari di sebelah kiri sementara bilik air pula di sebelah kanan. Saiz almarinya agak besar mempunyai pintu gelongsor. Di dalam almari selain terdapat penyangkut baju, terdapat juga peti simpanan keselamatan, seterika dan juga papan seterika. Di sebelah almari ini terdapat kabinet kecil menempatkan peti ais mini di mana di atasnya diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh, termasuklah cerek letrik. Juga terdapat 2 botol air minuman yang diletakan di dalam botol kaca.


Ruang katil pula agak besar menempatkan satu katil king. Di sebelah kanan katil terdapat satu sofa bujang untuk pengunjung berehat. Bertentangan kaki katil terdapat satu kabinet kayu menempatkan TV bersaiz 32 inci (kedudukan TV agak ke bawah jika menonton dari atas katil). Meja kerja pula letaknya di penjuru kanan bilik dan saiznya sederhana besar. Di atas meja ini diletakan satu lampu belajar.


Saiz bilik airnya kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk shower. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas (di sebelah kiri, bukannya disebelah kanan) dan ruang pancuran pula ditutupi cermin seratus peratus lutsinar dan saiznya agak kecil. Terdapat pancuran jenis siling dan juga pegang disediakan. Peralatan mandian juga lengkap, termasuklah berus gigi.

Kolam renang hotel ini letaknya di tingkat 3 dan ianya adalah terbuka. Saiznya tidaklah begitu besar tetapi mempunyai kedalaman 1.5 meter. Selain kolam renang untuk dewasa, terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak. Waktu kolam beroperasi ialah pada pukul 7 pagi hingga 7 malam.


Wifi percuma di dalam bilik agak laju di mana ianya mencapai kelajuan 27mbps sementara Celcom pula mempunyai kelajuan 57mbps tetapi Tune Talk agak perlahan, hanya berkelajuan 18mbps. Selain menyediakan TV yang kecil, hotel ini tidak menyediakan banyak siaran, dan siarannya pula bukanlah dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi kuat dan saya sangat berpuas hati. Pemandangan dari bilik pula ialah mengadap ke Jalan Ipoh. Untuk proses check-out pula pengunjung hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.


Secara keseluruhannya hotel ini agak berbaloi dengan harga yang telah dibayar. Harganya agak murah dan walaupun hotel ini sudah lama, ianya sangat bersih dan biliknya agak luas. Cuma pencahayaan di dalam bilik sangat kelam kerana tidak terdapat lampu di siling bilik. Sepanjang berada di dalam bilik saya terpaksa memasang lampu belajar. Dari segi lokasi pula, hotel ini hanya beberapa meter sahaja dari Stesen LRT Titiwangsa.


Bilik


Bilik Mandi


Pemandangan dari Bilik


Kolam Renang


Hotel


137 views0 comments

Comentarios


Post: Blog2_Post
bottom of page