top of page
Search
hanuds

AC Hotel by Marriott Kuala Lumpur (20-21/4/23)

Ini merupakan kali ketiga saya ke hotel di bawah rangkaian Marriott Bonvoy ini. Hotel yang terletak berdekatan dengan Stesen Bas Jalan Pekeliling ini dahulunya dikenali sebagai Hotel Vistana. Saya menempah bilik di hotel ini menggunakan keahlian saya di Marriott Bonvoy dengan menebus mata ganjaran sebanyak 5,000. Harga untuk bilik deluxe yang mempunyai keluasan 301 kaki persegi ini adalah sekitar RM200.


Saya tiba di hotel kira-kira pukul 3.30 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobi hotelnya agak besar dan selain kaunter terdapat juga restoran dan juga kafe di tingkat yang sama. Proses untuk check-in sangat cepat dan selepas diberikan kad akses saya terus menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di tingkat 10. Hotel ini mempunyai 4 buah lif.


Bilik hotel ini sebenarnya adalah sama dengan bilik semasa di bawah Hotel Vistana. Biliknya agak lama tetapi agak luas. Sebaik memasuki bilik terdapat almari baju di sebelah kanan yang mempunyai pintu gelongsor dan di sebelah kiri pula adalah bilik air. Di dalam almari terdapat tempat menyangkut baju serta peti simpanan keselamatan. Selain itu terdapat juga seterika dan papan seterika serta dua pasang selipar. Di tepi almari ini terdapat satu rak menempatkan peti sejuk mini dan di atasnya pula diletakan perkakas untuk membancuh kopi dan teh.


Ruang bilik pula agak luas menempatkan satu katil king. Di sebelah kiri katil terdapat satu kerusi dan dan di belakangnya pula terdapat satu lampu. Bertentangan dengan kaki katil terdapat satu rak yang diletakan TV berukuran 32 inci dan di sebelahnya pula terdapat satu meja kerja yang sederhana besar berserta satu lampu bacaan.


Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Di sebelah mangkuk tandas disediakan gelung paip untuk keselesaan pengunjung. Ruang untuk pancuran pula ada disediakan pancuran jenis siling dan juga pegang tetapi ruangnya agak sempit. Hotel ini menyediakan kelengkapan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tuala tangan dan juga tuala untuk muka. Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di tingkat 3 dan saiznya agak besar. Selain kolam renang untuk dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak. Waktu operasi kolam renang ialah pada pukul 7 pagi sehingga 7 malam.


Wifi percuma di dalam bilik mempunyai kelajuan sekitar 10mbps. Untuk telco pula, Celcom mempunyai kelajuan 65mbps sementara Tune Talk pula agak perlahan hanya berkelajuan 17mbps. Selain menyediakan TV yang kecil, siarannya pula tidaklah banyak dan bukan pula dalam bentuk HD. Bagi tekanan air di bilik mandi pula, ianya sangat kuat dan saya sangat berpuas hati.


Secara peribadi saya berpendapat hotel ini sudah agak lama tetapi lokasinya agak strategik berhampiran dengan Stesen LRT Titiwangsa dan juga monorel. Hotel ini terletak hanya 1.2km ke Hospital Kuala Lumpur. Pencahayaan di dalam bilik agak suram dan biliknya agak berhabuk (mungkin disebabkan terdapat tingkat yang sedang dalam proses pengubahsuaian). Saya mungkin akan ke hotel ini lagi jika proses pengubahsuaian sudah selesai bagi mencuba bermalam di bilik yang baru pula.


Bilik


Bilik Air


Pemandangan dari Bilik


Hotel


80 views0 comments

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page