Staycation saya pada minggu ini kembali ke Kuala Lumpur dan saya telah memilih satu hotel yang dulunya dikenali sebagai Hotel Vistana (orang ramai seringkali tertukar dengan Hotel Istana). Hotel ini adalah di bawah YTL Corporation dan setelah rangkaian Hotel Vistana ditukar nama kepada AC Hotel, ianya diletakkan di bawah pengurusan Marriott. Hotel ini letaknya di Jalan Lumut off Jalan Ipoh, iaitu di sebelah Stesen Bas Pekeliling. Bagi orang pantai timur, stesen bas ini bukanlah asing kerana telah wujud sejak zaman 70 an lagi.
Hotel ini sebenarnya baru sahaja dibuka semula setelah tidak beroperasi disebabkan pandemik Covid-19. Saya menempah bilik di hotel ini menerusi aplikasi Marriott Bonvoy dan memilih bilik jenis Deluxe King. Biliknya berkeluasan 301 kaki persegi berharga RM159.50 (tanpa sarapan). Harga ini adalah harga promosi 50% menurut website hotel ini.
Saya tiba awal di hotel kira2 pukul 1.00 tengahari dan terus sahaja ke lobi yang letaknya di bawah (walaupun sebenarnya saya telah pun check-in secara online di aplikasi Marriott Bonvoy). Lobinya agak luas dan cantik. Selain kaunter terdapat juga restoran serta cafe di tingkat yang sama. Saya mendaftar untuk masuk tapi diberitahu bilik belum lagi siap. Pekerja mengatakan yang bilik akan siap pada pukul 2 atau pun 3 petang dan menyuruh saya duduk terlebih dahulu. Saya hanya menunggu di lobi dan duduk di sofa yang terdapat di situ. Pada masa itu orang tidaklah ramai tetapi sejak saya duduk menunggu di situ hanya seorang sahaja yang berjaya mendapatkan bilik. Welcome drink pula hanya diberi selepas saya menunggu hampir 2 jam, tetapi airnya sedap. Selepas pukul 3 petang orang sudah pun mula ramai di kaunter dan saya hanya mendapat kad akses saya pada pukul 3.45 petang. Pada masa itu hanya 2 pekerja yang bertugas dan saya agak kesian dengan mereka kerana terpaksa melayan orang ramai (pada ketika itu sudah ada yang marah kerana lambat mendapat bilik). Bagi saya, terlewat 45 minit masih boleh diterima kerana waktu check-in hotel ini ialah pada pukul 3.00 petang. Cuma saya agak hairan mengapa bilik lambat siap kerana sepanjang saya berada di lobi tidak ada pun pelanggan yang check-out.
Selepas mendapat kad akses saya terus ke tingkat 9 dengan menaiki lif. Terdapat 4 lif di sini dan lifnya laju. Memasuki bilik terdapat almari untuk meletakkan barang dan menyangkut baju di sebelah kanan pintu masuk. Almarinya bertutup dengan pintu jenis gelongsor dan saiznya agak besar. Di kiri pula ialah bilik air yang mempunyai pintu yang boleh dikunci. Di sebelah almari baju terdapat satu kabinet bercermin yang diletakkan perkakas untuk membancuh kopi (termasuk cerek letrik) dan di bawahnya pula terdapat ruang bertutup yang diletakkan peti ais mini.
Bilik deluxe ini agak besar. Selain katil king terdapat satu kabinet untuk diletakkan TV di kaki katil. Saiz TV hanyalah 32 inci dan siarannya pula bukanlah dalam bentukk HD. Hanya sedikit siaran yang disediakan dan kedudukannya agak rendah bila menonton dari atas katil. Di hujung sebelah tingkap pula terdapat satu meja study yang agak besar berserta kerusi untuk pengunjung melakukan kerja pejabat. Di atas meja diletakkan satu lampu study. Di kiri dan kanan katil seperti biasa terdapat meja untuk diletakkan lampu tidur dan di sebelah kiri katil pula terdapat satu kerusi kecil untuk pengunjung berehat. Tidak terdapat lampu siling di hotel ini menjadikan biliknya agak suram.
Bilik airnya pula sederhana besar menempatkan sinki, tandas dan juga ruang untuk shower. Terdapat gelung paip disediakan bersebelahan mangkuk tandas dan ruang untuk shower bagi saya agak sempit. Walau bagaimanapun tekanan air di bilik mandi sangat kuat. Bilik airnya kelihatan sangat bersih. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah tuala muka dan berus gigi (tapi saya hanya mendapat 1 dan bukannya 2).
Hotel ini juga mempunyai pool yang terletak di tingkat 3 dan ianya adalah terbuka. Poolnya tidaklah besar dan terdapat juga pool untuk kanak2. Saya tidak pasti waktu pool ini beroperasi kerana tidak ditulis di papan kenyataannya. Pool ini mempunyai view yang cantik, mengadap ke Kuala Lumpur.
Seperti juga hotel yang lain, hotel ini juga menyediakan wifi percuma tetapi sangat perlahan (kurang dari 2mbps). Ini adalah kerana hotel ini ada menyediakan wifi berbayar yang lebih laju (tidak silap saya harganya RM50). Bagi telco pula, Celcom mempunyai kelajuan 64mbps sementara Tune Talk pula 39mbps. View bilik yang saya inap juga mengadap ke Kuala Lumpur dan boleh dilihat rel LRT dan juga PWTC. Menara KL dan juga PNB 118 kelihatan dengan jelas dari bilik. Untuk proses check-out pula, ianya sangat mudah di mana saya hanya perlu memulangkan kembali kad akses ke kaunter.
Secara peribadi hotel ini agak berbaloi dengan harga yang saya bayar (harga promosi). Hotel ini selain berdekatan dengan Stesen Bas Pekeliling, ianya juga sangat dekat dengan stesen LRT Titiwangsa. Selain itu ianya juga berdekatan dengan Hospital Kuala Lumpur (hanya beberapa minit dengan berjalan kaki). Terdapat banyak restoran di sekitar hotel untuk pengunjung makan. Sebagai sebuah hotel yang sudah lama beroperasi, perabut di hotel ini agak lama dan terdapat beberapa sudut bilik yang agak berhabuk serta cawannya pula tidak dibersihkan dengan sempurna (mungkin pekerjanya ingin menyiapkan bilik dengan cepat). Cahaya di dalam bilik juga agak suram kerana tidak ada lampu siling (saya terpaksa memasang lampu study untuk menerangkan lagi bilik).
Bilik
Bilik Air
View dari Bilik
Lobi
Pool
Hotel
Коментарі