1001 Nights Hotel Genting Highlands (3-4/5/25)
- hanuds
- May 4
- 3 min read
Minggu ini saya ke Genting Highlands untuk menginap di dua buah hotel. Kedua-dua hotel ini terletak bersebelahan antara satu sama lain dan kedua-duanya adalah di bawah rangkaian Wyndham. Lokasi hotel ini terletak di belakang puncak Genting Highlands di mana pengunjung terlebih dahulu perlu melalui puncak Genting Highlands sebelum sampai ke hotel ini. Saya membuat tempahan bilik secara terus kerana menggunakan baucer bernilai RM200 yang saya perolehi ketika menjadi ahli hotel ini dengan bayaran RM168. Saya hanya perlu membayar RM115 setelah ditolak baucer bernilai RM200 kerana harga bilik di tarikh saya menginap ialah RM315 (harga termasuk cukai tanpa sarapan pagi).
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 4.00 petang dan terus sahaja ke lobinya yang terletak di tingkat bawah. Lobinya luas tetapi agak kosong dan sangat ringkas. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan pengunjung perlu membayar RM3 untuk cukai pelancongan yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Pahang. Selepas mendapat kad akses bilik saya terus sahaja menaiki lif untuk ke Tingkat 16. Terdapat lapan buah lif di hotel ini tetapi bukan semuanya telahpun berfungsi.
Bilik Grand Deluxe King ini agak besar dengan keluasan 376 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat kabinet di sebelah kanan pintu masuk yang menempatkan singki dan juga peti sejuk mini. Di hujung kabinet ini terdapat rak besi untuk meletakkan beg dan barang-barang serta tempat untuk menyangkut baju yang terbuka. Di sini juga terdapat peti simpanan keselamatan. Dua pasang jubah mandi (bathrobe) digantung di sini. Kemudian di bahagian paling hujung ialah meja kerja yang panjang serta satu kerusi. Di dinding atas meja kerja ini digantung TV berukuran 55 inci. Selain satu katil king terdapat satu kerusi bujang dan satu meja bulat yang kecil yang diletakkan di sebelah kanan katil. Bilik ini mempunyai balkoni di mana ianya mengadap ke puncak Genting Highlands.
Bilik airnya pula terletak di sebelah kiri pintu masuk dan saiznya kecil sahaja. Ianya menempatkan singki, tandas dan juga ruang pancuran (shower). Ruang pancurannya ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar dan agak sempit tetapi masih lagi selesa. Di dalamnya terdapat dua jenis pancuran iaitu jenis pegang dan juga siling. Bersebelahan mangkuk tandas ada disediakan gelung paip (bidet) untuk keselesaan pengunjung. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi, tuala muka dan juga tuala tangan.
Hotel ini sebenarnya berkongsi fasiliti yang terdapat di bangunan bersebelahan iaitu di Hotel Wyndham Ion Majestic. Fasiliti seperti kolam renang, gimnasium serta spa terdapat di bangunan tersebut iaitu di Tingkat 13 yang mana ianya boleh diakses melalui Tingkat 12. Kolam renangnya besar dan mempunyai dua bahagian, satu terletak di dalam bangunan dan satu lagi di luar tetapi masih lagi bertutup. Waktu kolam renang ini beroperasi ialah pada pukul 8 pagi hingga 9 malam. Di Tingkat 12 juga terdapat restoran hotel (di sini sarapan pagi disediakan). Saya sempat makan tengahari di sini dan mencuba nasi gorengnya yang berharga RM48 dan jus tembikai berharga RM16. Nasi gorengnya agak sedap bagi saya cuma ianya agak kering.
Hotel ini masih lagi baru dan kelengkapan yang disediakan juga baru. Menurut kakitangan yang bertugas ianya belum dibuka sepenuhnya, hanya beberapa tingkat sahaja yang sudah dibuka. Di dalam bilik wifi yang disediakan belum begitu stabil walaupun ianya mempunyai kelajuan sehingga 38mbps. Begitu juga dengan sistem lifnya yang masih lagi tidak begitu lancar dan agak mengelirukan. Sekitar pukul 9.30 malam bilik yang saya inap elektik terpadam dengan tiba-tiba tetapi mujurlah kakitangan hotel membaikinya serta merta setelah saya melaporkannya di lobi. Di sekitar lif dan juga koridor bau hotel agak tidak menyenangkan saya kerana hotelnya yang masih lagi sangat baru.
Seperti yang saya sebutkan tadi hotel ini terletak di belakang puncak Genting Highlands iaitu kira-kira 5km untuk ke SkyAvenue. Untuk ke Genting Highlands Premium Outlet (GHPO) pula, jaraknya adalah sekitar 10km. Di hotel Wyndham Ion Majestic pengunjung boleh ke Hard Rock Café yang terletak di Tingkat 50 dan di lobinya pula terdapat kedai Hard Rock. Secara peribadi saya menyukai hotel ini kerana pemandangannya yang cantik serta cuacanya yang sejuk. Saya pasti kembali lagi ke sini kerana masih terdapat beberapa baucer yang masih belum ditebus.
Bilik
Bilik Air
Kolam Renang
Hotel
Makan Tengahari
Pemandangan dari Bilik
Comments